Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

Rahsia Qailulah

Tidur seketika pada tengah hari disebut qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico.

Allah SWT berfirman: “Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.” (Surah Al-Furqaan : Ayat 47)

Dalam kitab Fiqhus Sunnah terdapat keterangan sebagai berikut: “Terdapat sebuah hadis dari Ibnu Umar, beliau berkata, “Kami (para sahabat) pada zaman Rasulullah SAW suka tidur di masjid, kami tidur qailulah (tidur tengah hari) di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.” (Kitab Fiqhus Sunnah; Juz I; Hal. 252)

Di dalam kitab Misykatul Masabih disebutkan, “Tidur sekejap di waktu tengah hari atau qailulah bukanlah satu perbuatan yang keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.”

Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin berkata, “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari. Sebaik-baiknya hendaklah seseorang itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat zuhur.”

Anas bin Malik ra berkata: “Kami takbir (bersegera datang ke masjid) untuk menanti pelaksanaan solat Jumaat dan kami qailulah setelah solat Jumaat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Tidur siang sebegini adalah kebiasaan bagi orang yang mementingkan kesihatan, kesegaran dan produktiviti. Ia adalah budaya baik, apatah lagi Rasulullah pernah mengamalkannya. Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, kalaupun dibuat, ia tidak mengikut spesifikasi sunnah.

Tidur seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadhan, tetapi pada hari biasa khususnya pada musim panas.

Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan qailulah ini agar pada malam harinya mereka boleh bangun untuk mendirikan solat tahajud. Jadi tidur siang atau qailulah ini merupakan kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu.

Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailulah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang. Intinya, harus mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang (yang hanya seketika bukan sepanjang hari) meskipun pada Ramadhan.

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Namun Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Bukan hanya sekadar untuk bermalas-malasan.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti. (Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity)

Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai “a midafternoon quiescent phase” atau “a secondary sleep gate”.

Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku “The Art of Napping at Work”. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka “Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping”.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Parents and Sleep Deprivation)

Ternyata sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SAW merupakan suatu yang amat berfaedah. Seperti kita semua yakini, setiap sunnah itu ada tujuannya, kebaikan dan hikmahnya. Dengan kajian saintifik ini membuktikan dan menguatkan lagi hujahnya.

No comments:

Post a Comment